
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Sektor pelancongan perubatan negara bakal menyaksikan lonjakan kemasukan pelancong asing susulan kolaborasi strategik antara syarikat penerbangan Batik Air Malaysia dan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mempromosikan akses rawatan kardiovaskular bertaraf dunia.
- MoU mencerminkan komitmen memajukan penjagaan kesihatan pencegahan dan meningkatkan akses perkhidmatan jantung komprehensif.
- IJN tegaskan komitmen kesedaran kesihatan jantung dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan serantau.
- Batik Air laporkan 1.8 juta pelancong perubatan dan sumbang RM3.35 bilion pada 2025, melebihi sasaran.
- IJN tawarkan pakej Essential Health Screening serendah RM765 dan semakan jantung komprehensif RM1,760 bagi 1,000 pelanggan terawal.
Kerjasama yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memajukan penjagaan kesihatan pencegahan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan jantung yang komprehensif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata kolaborasi itu bukan sahaja menegaskan komitmen IJN terhadap kesedaran kesihatan jantung, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi pelancongan perubatan yang disokong kepakaran klinikal dipercayai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy mendedahkan bahawa prestasi sektor pelancongan kesihatan negara menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan di rantau ini.
“Pada tahun 2025, sebanyak 1.8 juta pelancong perubatan menyumbang kepada RM3.35 billion, lebih daripada jumlah sasaran yang dianggarkan.
“Ini menunjukkan Malaysia terbukti mendapat kepercayaan pelancong luar negara dalam menerima rawatan sambil melancong oleh sebab perkhidmatan sektor kesihatan yang mampan,” ujar beliau.
Kenyataan itu turut disokong oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim yang menyifatkan pencapaian Malaysia di tangga keenam dunia dalam sektor pelancongan perubatan sebagai bukti keupayaan luar biasa fasiliti rawatan tempatan. upacara majlis MoU di sini.
“Malaysia berada pada tangga ke-6 dalam pelancongan perubatan dunia, ini mencerminkan prestasi perubatan negara kita dan mampu meletakkan Malaysia di peta lokasi keutaman pelancong,” kata Amirul Rizal
Melalui kerjasama yang berkenaan, IJN menawarkan pakej ‘Essential Health Screening’ berharga serendah RM765 bagi pengesanan awal penyakit.
Selain itu, pakej semakan kesihatan jantung komprehensif bernilai RM1,760 turut ditawarkan khas kepada 1,000 pelanggan terawal yang menggunakan perkhidmatan penerbangan Batik Air untuk ke Malaysia.