
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Ketelusan dalam penyampaian maklumat dan pengukuhan libat urus perlu dipertingkat bagi memastikan masyarakat memahami dasar perubahan iklim negara dan manfaat keseluruhannya.
- Perkukuh ketelusan dan libat urus untuk pastikan masyarakat faham dasar perubahan iklim dan manfaatnya.
- Pergiat kempen kesedaran dan tingkatkan literasi perubahan iklim termasuk dalam silibus pendidikan.
- Libatkan rakyat secara formal dan sistematik agar maklum balas diambil kira dalam pelaksanaan dasar.
Pakar Sektor Awam Bank Dunia, Carmen Loo berkata, dalam meningkatkan sokongan terhadap pelaksanaan agenda itu, kerajaan dan pihak berkepentingan wajar mempergiatkan kempen kesedaran serta meningkatkan literasi mengenai perubahan iklim.
“Kesedaran awam boleh diperkukuh menerusi kempen penerangan, selain memasukkan pertimbangan perubahan iklim dalam silibus pendidikan.
“Secara keseluruhan, rakyat perlu dilibatkan secara lebih formal dan sistematik bagi memastikan maklum balas mereka diambil kira serta memahami mengapa sesuatu dasar diperkenalkan dan bagaimana ia memberi manfaat,” katanya selepas
Pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Negara Malaysia (CCIA).
Majlis berkenaan menghimpunkan wakil kerajaan, Bank Dunia, akademia dan pihak berkepentingan bagi membincangkan pengukuhan tadbir urus serta pelaksanaan agenda perubahan iklim negara.
Seiring dengan penganjuran majlis itu, laporan CCIA menilai aspek pelaksanaan dasar termasuk keupayaan institusi, penyelarasan dan pemantauan.