Muhammad Adib bukti OKU mampu cipta kejayaan

Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Adib Ibrahim

BUKIT JALIL, 1 Mei – Keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk melakar kejayaan. Itulah semangat yang dibuktikan penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Adib Ibrahim, yang terus cemerlang dalam bidang pendidikan dan kerjaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kini berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar di UiTM dan melanjutkan pengajian di UTM Kuala Lumpur.
  • Bersyukur atas pengiktirafan; kejayaan dipacu sokongan keluarga, isteri dan majikan yang memberi peluang.
  • Mengalami masalah pendengaran turun-temurun, beliau jadikan kekurangan pemangkin dan menyeru OKU tidak berputus asa.

Anak kelahiran Kepong itu kini berkhidmat sebagai Penolong Pendaftar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta sedang melanjutkan pengajian di kampus UTM Kuala Lumpur.

Muhammad Adib berkata, pengiktirafan diterimanya pada Sambutan Hari Pekerja 2026 adalah hasil sokongan berterusan daripada keluarga, isteri dan majikan yang sentiasa memberi peluang untuk beliau terus berkembang.

“Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih kepada keluarga dan majikan di UiTM yang sentiasa menyokong serta memberi peluang kepada saya untuk terus maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Unifi Arena, Bukit Jalil.

Muhammad Adib turut menegaskan golongan OKU tidak seharusnya berasa terpinggir, sebaliknya perlu yakin terhadap kemampuan diri sendiri.

Beliau berkongsi, masalah pendengaran yang dialaminya sejak 2012 berpunca daripada faktor genetik keluarga, apabila lima daripada enam ahli keluarganya turut berdepan situasi sama.

“Dalam keluarga saya, lima daripada enam orang mengalami masalah yang sama. Ia bukan sejak lahir, tetapi berlaku apabila meningkat usia.

“Namun saya anggap ini bukan beban, sebaliknya satu ujian yang perlu ditempuhi dengan tabah,” katanya.

Menurut beliau, kekurangan bukan alasan untuk berundur, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya percaya kekurangan bukan sesuatu yang perlu ditangisi. Apa yang penting adalah usaha dan semangat untuk terus melangkah ke hadapan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru golongan OKU agar terus berusaha serta tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

“Jangan jadikan kekurangan sebagai penghalang. Kita semua mampu berjaya jika terus berusaha dan bersemangat,” katanya.

Kisah kejayaan Muhammad Adib menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa dengan kecekalan, keyakinan diri dan sokongan berterusan, tiada batasan untuk mencapai kejayaan.