
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Peranan pekerja amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara walaupun berdepan cabaran ketika ini.
- Kebajikan pekerja perlu diberi perhatian, termasuk keselamatan, keseimbangan hidup dan peluang pembangunan kerjaya agar terus berdaya tahan.
- Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja negara.
- Baginda berdua menghargai pengorbanan dan dedikasi pekerja dalam pelbagai sektor, awam dan swasta.
- Baginda mendoakan pekerja sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan semasa menjalankan tugas.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, kebajikan pekerja perlu sentiasa diberi perhatian termasuk aspek keselamatan, keseimbangan kehidupan dan peluang pembangunan kerjaya, supaya mereka terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan penghargaan atas segala pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan para pekerja dalam pelbagai sektor, sama ada di peringkat awam mahupun swasta,” menurut hantaran itu.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh pekerja di negara ini sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan dalam menjalankan tugas masing-masing.