NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis perkukuh jaringan ekonomi

Foto ANGKASA

KANGAR, 1 Mei – Seramai 10,000 pengunjung disasar memeriahkan NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 yang dijadual berlangsung selama tiga hari mulai hari ini hingga Ahad di Pasar Terapung JPS di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat memperkukuh jaringan ekonomi koperasi, komuniti dan usahawan tempatan melalui jualan, promosi produk dan padanan perniagaan.
  • Acara menghimpunkan peserta koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana, agensi kerajaan dan peneraju industri dalam dan luar negara untuk merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
  • Menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi untuk memasarkan produk terus kepada pengguna dan membuka peluang jaringan perniagaan strategik.

Acara julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Matlamatnya – memperkukuh jaringan ekonomi koperasi, komuniti dan usahawan tempatan melalui platform jualan, promosi produk serta padanan perniagaan yang lebih meluas.

Pengerusi Perhubungan ANGKASA Negeri Perlis, Dr Ammar Hassan berkata, program ini menghimpunkan peserta koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana, agensi kerajaan serta peneraju industri dari dalam dan luar negara, bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat khususnya di negeri Perlis.

Sebanyak 50 pempamer koperasi menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan asas, hasil pertanian serta perkhidmatan inovatif.

Menurut beliau, kepelbagaian penyertaan ini mencerminkan keupayaan gerakan koperasi dalam memenuhi keperluan pasaran semasa, di samping memperlihatkan potensi besar sektor ini untuk terus berkembang dalam landskap ekonomi negara.

NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna, selain membuka peluang jaringan perniagaan antara koperasi dengan rakan strategik.

Majlis perasmian acara itu bakal disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Ahad ini (3 Mei) pukul 8.30 malam.