
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Malaysian Football League (MFL) mengumumkan lanjutan tarikh akhir penyerahan dokumen pelesenan kelab bagi kitaran 2025-2026 sehingga 14 Mei ini.
- Beberapa kelab memohon lanjutan masa untuk melengkapkan dokumen mengikut kriteria pelesenan.
- Tujuh kelab lengkap penyerahan Lesen AFC dan Kebangsaan: JDT, Selangor, Sabah, Terengganu, Penang, Kuching City, Negeri Sembilan.
- Mesyuarat keputusan pelesenan pada 20 Mei, proses rayuan 29 Mei, dan penyerahan akhir senarai kepada AFC pada 31 Mei.
Keputusan itu dibuat selepas terdapat beberapa kelab memohon lanjutan masa bagi melengkapkan keperluan dokumentasi mengikut kriteria pelesenan yang ditetapkan.
Setakat tarikh akhir 30 April, tujuh kelab telah melengkapkan penyerahan bagi Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC.
Bagi pemohon Lesen Kebangsaan pula melibatkan Imigresen FC, Kuala Lumpur City FC, Melaka FC, PDRM FC dan Kelantan The Real Warriors FC, dengan sebahagiannya masih dalam proses melengkapkan dokumen.
Sementara itu, empat kelab memohon Lesen Kebangsaan Luar Biasa bagi AFL Liga A1 iaitu Armed Forces FC, Bunga Raya FC, Kelantan Red Warrior FC dan UM Damansara United FC, namun turut terdapat permohonan lanjutan masa.
FIB memaklumkan mesyuarat keputusan pelesenan dijadualkan pada 20 Mei, diikuti proses rayuan pada 29 Mei sebelum senarai akhir kelab diserahkan kepada AFC pada 31 Mei ini.
Dalam perkembangan sama, DPMM FC dari Brunei tidak tertakluk kepada keperluan Lesen Kebangsaan kerana statusnya sebagai pasukan jemputan.
FIB menegaskan proses penilaian akan dilaksanakan secara telus dan keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas mesyuarat selesai.