Salah layak diberi perpisahan istimewa – Slot

Penyerang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah/Foto AFP

LIVERPOOL, 1 Mei – Pengurus Liverpool, Arne Slot menyifatkan Mohamed Salah layak menerima perpisahan istimewa, sambil mengesahkan pemain itu dijangka kembali beraksi sebelum musim berakhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dikeluarkan ketika kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace kerana mengalami kecederaan otot ringan.
  • Kecederaan tidak serius; beliau masih boleh beraksi untuk Liverpool dan juga di Piala Dunia.
  • Sejak 2017, Salah menjaringkan 257 gol dalam 440 penampilan, antara penjaring tertinggi dalam sejarah Liverpool.

Penyerang Mesir itu, yang bakal meninggalkan Anfield hujung musim ini, terpaksa dikeluarkan ketika kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace minggu lalu, kerana mengalami kecederaan otot ringan.

Sekali gus mencetuskan kebimbangan beliau mungkin beraksi buat kali terakhir bersama The Reds.

Bagaimanapun Liverpool memaklumkan Salah dijangka pulih dan kembali beraksi menjelang penghujung musim, namun tidak akan diturunkan dalam aksi terdekat.

“Kami menjangkakan dia kembali pada penghujung musim, tetapi bukan untuk perlawanan Ahad ini.

“Ini satu kelegaan besar kerana kecederaannya tidak serius, jadi dia masih boleh beraksi bersama kami dan juga di Piala Dunia.

“Jika ada pemain yang layak diberi perpisahan besar, sudah tentu Mo,” kata Slot.

Skuad itu akan bertandang menentang Manchester United pada Ahad selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut.

Sejak menyertai Liverpool pada 2017, Salah telah menjaringkan 257 gol dalam 440 penampilan, menjadikannya antara penjaring terbanyak dalam sejarah Liverpool, di belakang Ian Rush dan Roger Hunt.

Liverpool kini berbaki empat perlawanan liga dan berada di landasan kukuh untuk menamatkan musim dalam kelompok layak ke Liga Juara-Juara.-AFP