Malaysia, Brazil perkukuh kerjasama bangunkan bakat reka bentuk litar bersepadu

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 8 Mei-Malaysia dan Brazil menjalin kerjasama bagi membangunkan bakat reka bentuk litar bersepadu (IC) menerusi pelancaran ChampionCHIP eXperience, Edisi Malaysia, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komitmen membina saluran bakat mendalam dan khusus bagi sektor reka bentuk litar bersepadu melalui inisiatif pendidikan dan latihan intensif.
  • Pertandingan reka bentuk IC berintensiti tinggi direka untuk mengenal pasti dan membangunkan generasi baru bakat semikonduktor.
  • Platform EDA berasaskan awan ChipInventor membolehkan pembelajaran praktikal, simulasi dan pengesahan perkakasan menggunakan teknologi AWS FPGA.
  • Program menyokong sasaran Strategi Semikonduktor Nasional untuk melahirkan 60,000 bakat dengan fokus khusus pada reka bentuk IC.

Pelancaran yang diadakan bersempena SEMICON Southeast Asia itu menzahirkan komitmen Malaysia dalam membina saluran bakat mendalam dan khusus bagi sektor reka bentuk IC, menurut kenyataan bersama Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (ASEM), Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu Semikonduktor Malaysia.

“Kerjasama dengan Brazil mencerminkan visi ini dengan menggabungkan kepakaran ChipInventor, platform pendidikan reka bentuk IC berasaskan awan dari Brazil, bersama ekosistem semikonduktor Selangor yang mantap.

“Kedudukan unik Malaysia sebagai rakan neutral dalam rantaian bekalan semikonduktor global yang semakin berpecah meletakkan Selangor di persimpangan strategik yang memerlukan pembangunan keupayaan pantas melangkaui infrastruktur fizikal,” menurut kenyataan itu.

Majlis disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan Duta Brazil ke Malaysia, Daniella Ortega Menezes.

ChampionCHIP eXperience ialah pertandingan reka bentuk IC berintensiti tinggi yang direka untuk mengenal pasti dan membangunkan generasi baharu bakat semikonduktor Malaysia.

Dikuasakan oleh platform EDA (Automasi Reka Bentuk Elektronik) berasaskan awan sepenuhnya milik ChipInventor, program itu menawarkan peserta pengalaman pembelajaran intensif secara menyeluruh.

Seramai 300 pelajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), daripada peringkat diploma hingga pascasiswazah yang dipilih daripada institusi di seluruh Malaysia akan mengikuti latihan intensif bermula daripada asas logik digital hingga reka bentuk “Register-Transfer Level” (RTL) secara praktikal, sebelum menjalani pengesahan peringkat perkakasan menggunakan teknologi ”AWS FPGA”  berprestasi tinggi.

Peserta akan menggunakan persekitaran EDA berasaskan awan ChipInventor yang membolehkan pendidikan reka bentuk IC lebih mudah diakses dan berskala tanpa halangan kos infrastruktur tempatan yang tinggi, selain membolehkan mereka bukan sekadar membuat simulasi tetapi turut mengesahkan perkakasan sebenar bagi memastikan mereka bersedia untuk menerajui industri.

Program itu akan berakhir pada “Selangor AI & Semiconductor Summit 2026” (AiSEM@Selangor) pada Oktober tahun ini.

“Inisiatif ini secara langsung menyokong sasaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia untuk melahirkan 60,000 bakat semikonduktor dengan tumpuan khusus kepada reka bentuk IC, segmen nilai tambah tertinggi dalam ekosistem semikonduktor,” menurut kenyataan itu lagi.