
MEKAH, 8 Mei -Pernah terlantar lemah sehingga berat badan susut hampir 40 kilogram, seorang bekas pesakit kanser usus tahap empat menyifatkan peluang menunaikan haji tahun ini sebagai ‘jemputan luar biasa’ daripada Ilahi.
- Bekas pesakit kanser usus tahap empat menjalani 25 sesi kemoterapi dan pembedahan sebelum akhirnya dapat menunaikan haji.
- Proses kelulusan kesihatan sukar, perlu pemeriksaan di IKN dan IJN selepas tiga rayuan haji terdahulu ditolak.
- Bersama suami di Tanah Suci, pengalaman itu dianggap anugerah dan ibarat bulan madu kedua selepas 41 tahun bersama.
Namun siapa sangka, wanita yang pernah melalui 25 sesi kemoterapi itu kini berada di Tanah Suci bersama suami tercinta bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.
Bekas guru, Rossilawati Abdul Razak, 65 tahun berkata, ada ketika beliau sendiri menyangka hayatnya tidak panjang selepas disahkan menghidap kanser pada 2014.
Malah sejak disahkan menghidap kanser, kehidupannya berubah sepenuhnya apabila terpaksa menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan pembedahan besar*.
“Terlampau gembira hanya bersyukur saya macam mimpi saya boleh datang sini dengan keadaan saya kaki saya macam ni Allah masih izinkan saya. Jika tanpa suami tak tahu macam mana sebab kimo 25 kali,” katanya.
Menurutnya, perjalanan mendapatkan kelulusan kesihatan bukan mudah apabila dia perlu menjalani pemeriksaan di Institut Kanser Negara (IKN) dan Institut Jantung Negara (IJN).
Rossilawati berkata, impiannya untuk menjadi tetamu Allah juga pernah hampir berkubur apabila tiga rayuan hajinya sebelum ini gagal.
Sementara itu, suaminya, Kamaruzaman Othman, menyifatkan peluang bersama-sama berada di Tanah Suci umpama ‘bulan madu kedua’ selepas 41 tahun melayari alam rumah tangga penuh ujian.
“Sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana kami berdua dijemput jadi tetamu Nya,” kata Kamaruzaman.