
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Malaysia melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan bandar mampan apabila melancarkan Asia Pacific Urban Agenda Platform (AP-UAP) sempena World Urban Forum 13 (WUF13) di Baku, Azerbaijan.
- AP-UAP menyatukan usaha 58 negara Asia Pasifik mempercepat pelaksanaan New Urban Agenda dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan.
- Platform mengamalkan pendekatan tersusun, kolektif dan berorientasikan tindakan ke arah bandar inklusif, mampan dan berdaya tahan.
- Malaysia tekankan Human-Centred Urbanism untuk bandar selamat, inklusif dan lestari serta menyeru tindakan bersama atasi krisis perumahan dan perubahan iklim.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, platform itu dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Malaysia dan UN-Habitat.
Menurut kenyataan itu, AP-UAP menyatukan usaha negara-negara Asia Pasifik dalam mempercepat pelaksanaan New Urban Agenda (NUA) serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Inisiatif berkenaan melibatkan 58 negara di rantau Asia Pasifik dengan pendekatan lebih tersusun, kolektif dan berorientasikan tindakan ke arah pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
Menteri KPKT merangkap Presiden UN-Habitat, Nga Kor Ming berkata cabaran global termasuk krisis perumahan, urbanisasi pesat, perubahan iklim dan ketidaksamaan sosial memerlukan tindakan bersama yang lebih agresif serta terselaras di peringkat antarabangsa.
“Malaysia percaya agenda pembangunan bandar masa depan perlu berpaksikan rakyat menerusi pendekatan ‘Human-Centred Urbanism’ bagi memastikan bandar lebih selamat, inklusif dan lestari untuk semua,” katanya ketika berucap sempena forum berkenaan.
Majlis pelancaran di Pavilion Malaysia turut menyaksikan pengenalan penerbitan khas oleh Think City bertajuk Housing the Poor: Malaysia’s Journey from Slums to Resilient Communities.
Penerbitan itu mengetengahkan perjalanan lebih lima dekad Malaysia dalam memperkasa sektor perumahan rakyat serta pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Ia turut menyorot kejayaan negara meningkatkan kadar pemilikan rumah kepada 77 peratus.
Menurut KPKT, penyertaan Malaysia di WUF13 mencerminkan komitmen aktif negara dalam memperjuangkan agenda pembangunan bandar mampan di peringkat global selaras aspirasi Malaysia MADANI.
WUF13 menghimpunkan lebih 30,000 peserta dari 180 negara sebagai platform pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik serta pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran urbanisasi masa depan.