
BACHOK, 18 Februari – Orang ramai yang mengunjungi pantai di sekitar kawasan Bachok diminta berwaspada susulan kemunculan ubur-ubur jenis Physalia physalis atau dikenali sebagai ubur-ubur api.
- Warga diminta berwaspada kerana ubur-ubur Physalia physalis dilaporkan muncul dan terdampar di pantai Bachok.
- Spesies ini berbahaya dan boleh menyebabkan sengatan serius kepada sesiapa yang tersentuh.
- Ibu bapa dinasihatkan memantau anak-anak dan mengelakkan sentuhan dengan ubur-ubur di pesisir.
- Pengunjung risau kerana tiada papan tanda amaran dipasang di pantai setakat ini.
Pejabat Perikanan Daerah Bachok dalam satu kenyataan mengesahkan kehadiran ubur-ubur biru yang berbahaya di perairan sekitar pantai berkenaan.
“Kehadiran ubur-ubur berkenaan dikesan di sepanjang kawasan pantai Bachok dan ditemukan terdampar di pesisir pantai. Spesies ubur-ubur tersebut boleh menyebabkan sengatan serius kepada individu yang tersentuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengelakkan sebarang sentuhan dengan hidupan laut berkenaan.
Ibu bapa juga digesa memantau pergerakan anak-anak ketika berada di kawasan pantai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sementara itu, seorang pengunjung, Mohamad Adam Ali ketika ditemui RTM di Pantai Irama memaklumkan mula menemukan ubur-ubur berkenaan terdampar di kawasan pantai sejak dua tiga hari lalu.
Beliau sentiasa berwaspada setiap kali membiarkan anak saudaranya bermain di kawasan berpasir berhampiran pantai tersebut.
“Bimbanglah sebab ada ubur-ubur. Kita datang dua tiga kali pun selalu ada di kawasan pantai ini. Selalunya dalam sehari dua ni datang dengan anak saudara memang dah ada ubur-ubur timbul dua tiga ekor. Kena perhatikan juga anak-anak dan kena waspada. Harap ibu bapa jangan lekalah,” katanya.
“Sejujurnya saya rasa amat takutlah dengan kehadiran ubur-ubur sebab tak boleh nak jangka bila ubur-ubur ini timbul dan tidak nampak sebarang papan tanda diletakkan di pantai ini. Kalau boleh saya akan elakkan main di tepi pantai, sebab kita tidak tahu sama ada ubur-ubur ni bahaya atau tidak,”kata pengunjung, Putri Nor Fasya Abdullah.
“Kepada pengunjung-pengunjung di sini kalau nak main berhampiran kawasan pantai ni ibu bapa tengoklah anak anak mereka kalau nak pergi ke kawasan pantai sebab ada ubur-ubur inilah. Dia punya bahaya ye lah kita tak tahu macam manakan boleh membawa penyakit dan sebagainya. Setakat ini, kawasan pantai Bachok ni saya tak ada nampak lagi papan tanda yang menunjukkan amaran pasal ubur-ubur ni. Patut adalah supaya ibu bapa tu boleh ambil tindakanlah untuk anak anak diorang,” kata Alia Umairah Mohamad Syukri.