Warga emas, kanak-kanak terdedah risiko cuaca panas

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Cuaca panas akibat Fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) dalam fasa kering ketika ini memberi risiko lebih tinggi kepada warga emas dan kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurangkan aktiviti luar dan pastikan pengambilan air mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi, khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak.
  • Berhemah dalam penggunaan air kerana pengurangan taburan hujan boleh menjejaskan paras empangan dan bekalan air bersih.
  • Terdapat tiga tahap amaran cuaca panas: berjaga, gelombang haba dan gelombang haba ekstrem mengikut suhu maksimum harian.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Ambun Dindang berkata, golongan berkenaan disaran mengurangkan aktiviti luar serta memastikan pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi.

“Dari sudut kesihatan, kumpulan seperti warga emas dan kanak-kanak perlu diberi perhatian kerana mereka lebih mudah terjejas ketika cuaca panas berpanjangan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhemah dalam penggunaan air berikutan pengurangan taburan hujan yang menjejaskan paras takungan empangan.

“Keadaan ini boleh memberi kesan kepada bekalan air bersih sekiranya tidak diurus dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menetapkan tiga tahap amaran cuaca panas iaitu tahap berjaga-jaga apabila suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Katanya, tahap gelombang haba pula dikeluarkan apabila suhu melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius.

Manakala gelombang haba ekstrem diisytiharkan jika suhu melebihi 40 darjah Celsius dalam tempoh sama.