
PULAU PINANG, 24 Mac — Kebakaran hutan seluas kira-kira tiga ekar di Taman Bukit Gambir, Gelugor berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang pada 4.45 pagi ini.
- JBPM menerima panggilan kecemasan pada 2.07 petang dan mengerahkan anggota Balai Bomba Jalan Perak.
- Operasi diperkukuh oleh Pasukan Bomba Sukarela Lebuh Bakau dan Lorong Perak untuk mengawal serta memadam kebakaran daripada merebak.
- Kaedah firebeater dan firebreak digunakan, Unit Dron JBPM memantau dari udara, dan tiada mangsa dilaporkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.07 petang semalam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Lebuh Bakau dan Lorong Perak bagi mengawal serta memadam kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara kaedah digunakan ialah teknik ‘firebeater’ dan ‘firebreak’ bagi memutuskan laluan api serta mempercepatkan proses pemadaman.
Katanya, pihak bomba turut menggunakan dron yang dikendalikan Unit Dron JBPM untuk memantau keadaan kebakaran dari udara sepanjang operasi dijalankan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.