
PUTRAJAYA, 6 Jun – Malaysia perlu menyediakan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan pelabur antarabangsa, khususnya dalam sektor teknologi baharu.
- Pelabur antarabangsa masih memberi tumpuan kepada Malaysia walaupun ketidaktentuan geopolitik.
- Syarikat IT terkemuka dari Australia menambah pelaburan sebanyak €2 bilion di Malaysia.
- TVET mesti diperkasa supaya selari dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi baharu seperti AI dan kripto.
- Galakkan pelajar dan tenaga kerja menerima serta meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelabur antarabangsa masih memberi tumpuan kepada Malaysia meskipun negara berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
Jelas beliau, perkara itu dibuktikan apabila sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) terkemuka dari Australia, yang juga antara terbesar di dunia, bersetuju menambah pelaburan di Malaysia, baru-baru ini.
“Minggu lalu dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik belum selesai termasuk masalah di Selat Hormuz dan pengumuman pilihan raya kecil di sana sini, tetapi pelabur antarabangsa masih tertumpu di sini.
“Dan pelabur syarikat IT terkemuka di Australia, antara terbesar di dunia, menemui kita minggu lalu dan menambah pelaburan €2 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.
Jelas Perdana Menteri lagi, keupayaan TVET masih harus dipertingkat supaya selari keperluan industri dan perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan kripto.
“TVET masih perlu diangkat keupayaan kemahirannya. Jadi kepada anak-anak yang terlatih, harus tahu kita juga perlu menerima kenyataan untuk meningkat dalam bidang yang baharu. Ini semua teknologi baharu, AI, kripto, ini baharu,” katanya.