
PUTRAJAYA, 6 Jun – Semua badan latihan penyelidikan kerajaan diwajibkan menyediakan peluang latihan awal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kripto dan peralihan tenaga, bermula bulan depan.
- Pelatih akan ditempatkan di MARDI, pusat berkaitan kripto dan badan penyelidikan di bawah Majlis Sains Negara.
- Tujuan memberi pendedahan kepada bidang baharu dan kritikal seperti kecerdasan buatan, kripto dan transisi tenaga.
- Kerajaan mahu badan penyelidikan yang menerima peruntukan tinggi membantu pembangunan bakat TVET, bukan tertumpu semata kepada universiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap institusi penyelidikan berkaitan akan diminta berusaha menyediakan tempat latihan kepada antara 50 hingga 100 pelatih TVET yang dipilih.
“Ketua Setiausaha Negara akan menyelaraskan supaya semua badan latihan penyelidikan kerajaan itu diwajibkan mulai bulan depan berikhtiar untuk memberi peluang latihan awal di antara 50 hingga 100 orang di setiap TVET yang terpilih,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata pelatih terbabit akan ditempatkan di institusi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pusat berkaitan kripto dan mana-mana badan penyelidikan yang diselaraskan di bawah Majlis Sains Negara.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memberi pendedahan kepada bidang yang benar-benar baharu dan kritikal kepada ekonomi masa depan negara.
“Mereka akan ditempatkan sama ada di MARDI atau di pusat kripto atau mana-mana badan penyelidikan diselaras bawah Majlis Sains Negara. Selain itu, pendekatan tersebut juga mampu mengangkat kedudukan lulusan TVET tertentu kerana mereka memperoleh kemahiran khusus yang belum tentu tersedia dalam sistem pendidikan awam sedia ada.
“Perkembangan teknologi seperti AI, kripto dan transisi tenaga memerlukan sistem latihan yang lebih pantas menyesuaikan diri dengan kehendak industri semasa,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan mahu badan-badan penyelidikan yang menerima peruntukan tinggi turut memainkan peranan dalam pembangunan bakat TVET, bukan hanya tertumpu kepada universiti semata-mata.