TAIPING, 27 September - Tuduhan kononnya Malaysia dijadikan pangkalan Hamas disifatkan sebagai propaganda habis-habisan yang dimainkan Israel.
Sebaliknya, Malaysia sentiasa mengamalkan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi yang terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, negara kini menjadi destinasi pembelajaran bagi hampir 160 buah negara, termasuk pelajar dari Palestin dan negara Arab lain.
"Kita lihat Malaysia dengan dasar pengantarabangsaan kita dapat menarik ramai pelajar-pelajar datang belajar ke negara kita ini termasuk juga pelajar-pelajar baik daripada Palestin, baik daripada negara-negara Arab yang lain.
"Jadi tuduhan mengatakan bahawa mereka yang datang belajar akan jadi pangkalan Hamas itu adalah kita tahu merupakan satu propaganda habis-habisan oleh pihak Israel atas keberanian Malaysia menyatakan pendirian terhadap kezaliman yang mereka lakukan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek MADANI POLYCC di Bendang Siam, Changkat Jering, Taiping.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pelajar antarabangsa yang hadir menimba ilmu di negara ini wajar diraikan, seiring usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
Terdahulu pada Rabu, penganalisis kewangan keganasan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, Jonathan Schanzer, mendakwa Malaysia dijadikan pangkalan kepimpinan Hamas.