TPM Zahid setuju cadangan PAC tubuhkan badan khas, siasat pengurusan TH selepas 2017

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menubuhkan badan khas di bawahnya bagi menjalankan siasatan terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh selepas 2017 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyiasatan lanjut perlu bagi memperjelas fakta dan membetulkan persepsi awam mengenai pengurusan TH.
  • Jabatan Audit Negara mengeluarkan sijil bersih; Akta Tabung Haji 1995 menetapkan JAN sebagai badan audit yang berhak.
  • PAC dianggap lebih sesuai menjalankan siasatan kerana mempunyai bidang kuasa dan locus standi jelas, berbanding penubuhan RCI baharu.

Beliau berkata, penyiasatan lanjut perlu bagi memperjelas perkara yang berlaku selepas 2017 berdasarkan fakta dan realiti sekali gus memperbetulkan persepsi masyarakat berhubung pengurusan TH.

“Pada hemat saya, ini satu saranan yang harus diikuti agar tidak ada tuduhan penyakauan, sebaliknya sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara memperlihat sijil bersih telah dikeluarkan menunjukkan pengauditan yang dilakukan terhadap TH itu berdasarkan aktanya dan Akta Tabung Haji 1995 menyebut badan audit yang harus melakukan pengauditan ialah Jabatan Audit Negara,” katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, cadangan tersebut dikemukakan secara tidak formal oleh beberapa Ahli Parlimen yang hadir forum “Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” pada Musyawarah Nasional di sini hari ini.

Forum bertujuan mengupas dan memperjelas aspek tadbir urus serta pengurusan TH, khususnya perkara yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Mengulas cadangan penubuhan RCI baharu untuk menyiasat pengurusan TH selepas 2017 hingga kini, beliau berkata PAC lebih sesuai menjalankan siasatan itu kerana mempunyai bidang kuasa yang jelas untuk berbuat demikian.

“Saya fikir PAC lebih sesuai untuk melakukan penyiasatan kerana jawatankuasa itu mempunyai locus standi yang tercatat dalam tugas dan tanggungjawab PAC itu sendiri,” katanya lagi.

Ditanya sama ada setiap resolusi pada Musyawarah Nasional akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, beliau berkata perkara itu tidak perlu.

“Saya tidak fikir perkara ini perlu dibawa ke Kabinet kerana forum ini ialah forum penjelasan dan pada hemat saya, perkara yang disarankan secara tidak formal tadi oleh Ahli-Ahli Parlimen harus diberi keutamaan, terutamanya PAC harus menubuhkan badan penyiasat di bawah tanggungjawab PAC sendiri. Langkah ini lebih afdal berbanding pendekatan lain,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.