TLDM perkasa transformasi, kukuh kedaulatan maritim negara

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain

KUALA LUMPUR, 17 April – Sambutan ulang tahun ke-92 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi simbol penting kepada usaha berterusan angkatan itu dalam memperkasa transformasi serta kedaulatan maritim negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keupayaan operasi TLDM meningkat membolehkan operasi lebih jauh dan pengawalan kedaulatan perairan negara lebih berkesan.
  • Pemodenan aset memerlukan perancangan rapi; perolehan aset dibuat mengikut jadual dan tidak boleh dilaksanakan segera.
  • Cabaran sumber manusia: anggota baharu mesti kuasai sistem lama dan moden; kebergantungan teknologi boleh menjejaskan pemikiran kritikal.
  • Sebahagian besar aset melebihi 40 tahun, menekan kos penyelenggaraan dan kecekapan operasi; komitmen kepada pemodenan berfasa diteruskan.

Walaupun diraikan secara sederhana susulan keadaan ekonomi global semasa, sambutan itu tetap signifikan bersempena sejarah penubuhan TLDM pada 27 April.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain berkata, usia 92 tahun memperlihatkan perkembangan ketara dari segi keupayaan operasi TLDM.

Menurut beliau, peningkatan keupayaan itu membolehkan TLDM beroperasi lebih jauh serta melaksanakan tanggungjawab menjaga kedaulatan perairan negara dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, jelas beliau, proses pemodenan dan peningkatan keupayaan tersebut memerlukan perancangan rapi serta tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat.

“Perolehan aset ini tidak boleh berlaku secara serta-merta, sebaliknya memerlukan perancangan supaya kemasukan aset ke dalam TLDM dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Fokus ulang tahun kali ini juga menjurus kepada pelaksanaan pelan transformasi TLDM yang telah dirangka sejak beberapa tahun lalu dan kini sedang direalisasikan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia.

Dalam pada itu, TLDM turut berdepan cabaran dari segi sumber manusia, khususnya dalam memastikan anggota baharu mampu menguasai sistem lama dan moden secara seimbang.

“Walau secanggih mana sistem, ia tetap memerlukan manusia untuk menganalisis. Jika terlalu bergantung kepada teknologi, keupayaan berfikir secara kritikal boleh terjejas,” katanya.

Selain itu, sebahagian besar aset TLDM ketika ini telah berusia lebih 40 tahun, sekali gus meningkatkan keperluan penyelenggaraan berbanding penggunaan operasi.

Menurut beliau, keadaan itu memberi tekanan kepada kos serta kecekapan operasi dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, TLDM komited untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara melalui pemodenan aset serta pelaksanaan pelan transformasi secara berfasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.