
KUALA LUMPUR, 17 April – Kampung Kuala Pangsun di Hulu Langat dipilih sebagai lokasi Program Kampung Angkat MADANI berikutan nilai sejarah yang signifikan serta potensi pelancongan dalam memacu pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
- Program menumpukan usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
- Pelaksanaan memfokuskan projek berskala kecil yang memberi impak langsung kepada penduduk melalui peningkatan kemudahan asas.
- Antara projek: baik pulih jalan, naik taraf gelanggang futsal dan balai raya, serta pembinaan stor dan tandas.
Setiausaha Bahagian Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri, Natrah Mohd Zahari berkata, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan lebih memfokuskan kepada projek berskala kecil yang memberi impak langsung kepada penduduk, khususnya dalam meningkatkan kemudahan asas di kawasan desa.
“Antara projek yang telah dilaksanakan di Kampung Kuala Pangsun termasuk kerja membaik pulih permukaan jalan raya, menaik taraf gelanggang futsal dan balai raya, serta pembinaan stor dan tandas di kawasan futsal yang sebelum ini kurang memuaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia, di sini, hari ini.
Tambah beliau, usaha tersebut mampu meningkatkan kualiti kemudahan asas sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Inisiatif itu diharap dapat memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar secara inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.