
KUALA LUMPUR, 17 April– Usaha menangani konflik dan masalah sosial dalam kalangan pelarian di Malaysia memerlukan penglibatan aktif masyarakat, bukan sahaja melalui sumbangan kewangan tetapi juga perkongsian kepakaran bagi membantu golongan ini membina masa depan yang lebih baik.
- Penglibatan aktif masyarakat diperlukan, bukan sekadar sumbangan kewangan tetapi perkongsian kepakaran membantu pelarian.
- Pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, pembangunan kemahiran dan sokongan komuniti memberi impak besar.
- NGO, institusi pendidikan dan sukarelawan tempatan perlu digerakkan; masyarakat digesa turun padang serta terlibat.
- Penglibatan berterusan memupuk persekitaran inklusif supaya pelarian berdikari, melengkapkan ilmu dan kembali menyumbang.
Menurut Pemimpin Kanan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim berkata, pendekatan menyeluruh yang melibatkan pendidikan, pembangunan kemahiran serta sokongan komuniti mampu memberi impak besar dalam memperkasa kehidupan pelarian di negara ini.
“Akses kepada pendidikan menjadi antara faktor penting dalam membantu pelarian membina potensi diri, seterusnya membuka peluang untuk mereka berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan sukarelawan tempatan telah memperlihatkan perkembangan positif dalam meningkatkan tahap kesedaran serta sokongan terhadap isu ini.
“Saya rasa paling penting adalah kita sendiri pergi lihat dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan.
“Banyak NGO di Malaysia yang sentiasa membantu pelarian dan mereka memerlukan sokongan masyarakat,” katanya selepas Program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pelarian mempunyai harapan untuk kembali ke negara asal apabila keadaan kembali aman, dan sepanjang berada di sini mereka berusaha melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.
Justeru, penglibatan berterusan masyarakat dilihat sebagai pemangkin utama dalam membentuk persekitran yang inklusif, sekali gus menyokong usaha memperkasa golongan pelarian di Malaysia.