Kebakaran hutan paya gambut di Dungun dipercayai akibat pembakaran terbuka

FOTO APM DUNGUN

DUNGUN, 17 April – Kebakaran hutan paya gambut berhampiran Kampung Rhu Batil di sini sejak Isnin lalu dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka yang tidak dikawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 20 hektar hutan musnah, menghasilkan asap tebal yang menjejaskan penduduk sekitar.
  • Kira-kira 10 hektar berjaya dipadam; baki kebakaran masih dalam operasi dan dijangka tamat dalam tempoh seminggu.
  • Operasi terjejas oleh tanah gambut lembut, kebakaran bawah permukaan, cuaca panas serta kekurangan sumber air; APM dan RELA membantu.

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 20 hektar kawasan hutan musnah, selain menghasilkan asap tebal yang menjejaskan penduduk sekitar.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Yahaya Hanafi berkata, setakat ini kira-kira 10 hektar kawasan berjaya dipadam, manakala baki kebakaran masih dalam operasi pemadaman.

Menurut beliau, operasi berdepan cabaran berikutan keadaan tanah lembut yang menyukarkan akses logistik ke lokasi kejadian, selain komposisi tanah gambut yang membolehkan api merebak di bawah permukaan.

Tambahnya, faktor cuaca panas dan kering turut mempercepatkan penyebaran api, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman.

“Keadaan cuaca panas dan angin kuat menyebabkan usaha pemadaman menjadi sukar, selain terdapat kawasan operasi yang tidak mempunyai sumber air mencukupi,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

Yahaya berkata, pihak bomba terus memantau keadaan bagi memastikan api tidak merebak dan operasi dijangka dapat ditamatkan dalam tempoh seminggu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penduduk agar mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.