
BUDAPEST, 27 April – Hungary berdepan risiko kekurangan bekalan bahan api apabila banyak stesen minyak di negara itu kini berdepan kesukaran operasi susulan konflik Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan tenaga global.
- Persatuan petroleum dan stesen minyak bebas memberi amaran beberapa stesen berisiko ditutup akibat gangguan bekalan dan tekanan kawalan harga.
- Kerajaan umum kawalan harga runcit bahan api dan pelepasan simpanan negara untuk cuba menstabilkan bekalan domestik.
- Industri amaran pengurangan import minyak mentah dan produk bertapis boleh menjejaskan keselamatan bekalan dalam masa terdekat.
- Simpanan minyak bertapis hanya untuk kira-kira 15 hari, meningkatkan risiko kekurangan serius, stesen persendirian dijangka paling terjejas.
Persatuan Petroleum Hungary dan Persatuan Stesen Minyak Bebas berkata beberapa stesen minyak kini berisiko ditutup berikutan gangguan bekalan serta tekanan daripada dasar kawalan harga bahan api negara itu.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban sebelum ini mengumumkan kawalan harga runcit bahan api serta pelepasan simpanan minyak negara bagi menstabilkan bekalan domestik.
Bagaimanapun, persatuan industri memberi amaran pengurangan mendadak import minyak mentah dan produk petroleum bertapis boleh menjejaskan keselamatan bekalan dalam tempoh terdekat.
Pemilik stesen minyak, Laszlo Gepesz berkata pengusaha kini berdepan tekanan kos operasi termasuk gaji pekerja, utiliti dan pengurusan, selain ketidaktentuan tempoh bekalan mampu bertahan.
Pakar tenaga, Egri pula berkata Hungary ketika ini hanya mempunyai simpanan minyak bertapis untuk kira-kira 15 hari, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan bekalan lebih serius dalam beberapa minggu akan datang.
Menurutnya, stesen minyak milik persendirian dijangka paling terkesan jika gangguan bekalan berterusan. – REUTERS