Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V. Radhakrishnan (tiga dari kiri)

KUALA LUMPUR, 26 April – Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) memperkenalkan sukan digital dodgeball sebagai inisiatif baharu bagi memperluas penyertaan khususnya dalam kalangan belia, seiring perkembangan pesat e-sukan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sukan berasaskan realiti terimbuh dilihat sebagai pelengkap kepada dodgeball fizikal.
  • Kementerian Belia dan Sukan menyokong digital dodgeball dan menyenaraikannya antara sukan baharu untuk promosi tahun ini.
  • MAD memfokuskan pembangunan akar umbi, menyasarkan bawah 12 dan bawah 15 serta kerjasama dengan Kementerian Pendidikan.
  • Malaysia merancang menghantar lebih banyak pasukan ke kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia HADO Digital Dodgeball dan mengukuh kedudukan rantau.

Presidennya, Datuk V. Radhakrishnan berkata sukan berteraskan teknologi realiti terimbuh itu dilihat sebagai pelengkap kepada dodgeball fizikal yang telah bertapak lebih 15 tahun di Malaysia.

Menurut beliau, usaha tersebut turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyenaraikan digital dodgeball sebagai antara sukan baharu untuk dipromosikan tahun ini.

Sebanyak tujuh negeri dikenal pasti bagi pelaksanaan awal program tersebut, iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Tambahnya, MAD akan memberi fokus kepada pembangunan peringkat akar umbi dengan sasaran utama golongan bawah 12 dan bawah 15 tahun, selain bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan sukan itu di sekolah.

“Kami telah memperkenalkan dodgeball digital. Dodgeball digital lebih berasaskan realiti terimbuh. Ia merupakan gabungan elemen fizikal dan interaktif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Malaysia turut merancang menghantar lebih banyak pasukan ke kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia HADO Digital Dodgeball, selain memperkukuh kedudukan sebagai antara kuasa utama dodgeball di rantau ini.