Ketiadaan empat tonggak jejas rentak permainan Penang FC – Wan Rohaimi

Menurut Ketua jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail, selain Dylan Wenzel-Halls yang mengalami kecederaan ketika perlawanan akhir kedua Piala Cabaran minggu lepas, tiga pemain lain yang terlepas aksi petang semalam ialah kapten pasukan Stefan Brundo, Mohamad Adib Abdul Ra’op dan Nur Shamie Iszuan Amin, susulan penggantungan. Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 27 April – Ketiadaan empat tonggak utama akibat kecederaan dan penggantungan nyata menjejaskan rentak permainan Penang FC, yang sekadar seri tanpa jaringan menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wan Rohaimi berkata ketiadaan Dylan menyebabkan bahagian serangan kekurangan idea mencipta peluang.
  • Beliau berharap Dylan pulih dan pemain lain meningkatkan prestasi menjelang perlawanan menentang Selangor.
  • Wan Rohaimi faham cabaran cuaca panas namun tekankan kesungguhan pemain walaupun gagal meraih kemenangan.
  • Juan Torres berkata kedua-dua pasukan tunjuk corak berbeza dan tidak banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Ketua jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui kehilangan pemain penting itu menyebabkan pasukan tampak ‘lompong’ terutama pada bahagian serangan, sekali gus menyukarkan skuad Harimau Kumbang mencipta peluang berbahaya sepanjang perlawanan

“Kehilangan empat tonggak ini memang dirasai, lebih-lebih lagi Dylan (Wenzel-Halls) apabila bahagian serangan, kita agak kekurangan idea untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol.

“Saya harap untuk perlawanan akan datang Dylan sudah kembali cergas dan pemain lain juga perlu meningkatkan lagi prestasi,” katanya selepas perlawanan tamat, malam tadi.

Selain Dylan yang mengalami kecederaan ketika perlawanan akhir kedua Piala Cabaran minggu lepas, tiga pemain lain yang terlepas aksi petang ini ialah kapten pasukan Stefan Brundo, Mohamad Adib Abdul Ra’op dan Nur Shamie Iszuan Amin, susulan penggantungan.

Pengendali berusia 50 tahun itu berkata beliau memahami kekangan dihadapi pemain apabila terpaksa beraksi dalam cuaca panas, tetapi ia bukanlah alasan dan mengakui semua pemain telah menunjukkan komitmen tinggi meskipun gagal meraih tiga mata.

Biarpun sekadar memperoleh satu mata, beliau tetap berpuas hati dan menegaskan fokus kini adalah untuk mempersiapkan pasukan menghadapi perlawanan seterusnya menentang Selangor pada 2 Mei ini, selain kekal optimis Penang FC mampu memperbaiki kedudukan dalam baki saingan liga dengan kembalinya pemain-pemain utama.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido menyifatkan keputusan seri itu sebagai keputusan yang adil berdasarkan keseluruhan aksi perlawanan, dengan kedua-dua pasukan masing-masing menunjukkan corak permainan berbeza sepanjang 90 minit permainan.

“Pada separuh masa pertama, kami beraksi agak konsisten dan pada separuh masa kedua kami mendominasi, namun pihak lawan lebih baik dan sesekali mendominasi kami. Secara keseluruhan, keputusan seri mungkin keputusan yang adil, kerana tidak banyak peluang menjaringkan gol untuk kedua-dua pasukan,” katanya.

Juan turut memberitahu jadual padat selepas aksi final minggu lepas, yang berlangsung hingga 120 minit serta perjalanan berulang memberikan kesan kepada tahap tenaga pemain, namun beliau kekal optimis skuad Sang Badak akan kembali lebih bertenaga menjelang aksi seterusnya di laman sendiri selepas proses pemulihan.- BERNAMA