Petani KADA raih hasil tuaian padi 7-10 tan sehektar

Foto hiasan/ BERNAMA

PASIR PUTEH, 14 Mei – Hasil tuaian padi bagi musim 2/2026 di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), mencapai 45 peratus melibatkan keluasan tanaman 24,838 hektar, manakala lebih 11,000 hektar lagi masih dalam fasa keluar tangkai dan masak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebahagian petani berjaya memperoleh hasil antara tujuh hingga 10 tan sehektar.
  • Pengoperasian penuh Projek Sistem Pam Kemubu 4 sejak Februari meningkatkan pengurusan air dan hasil padi lebih baik berbanding musim lalu.
  • Projek hampir RM20 juta melibatkan lapan pam utama menstabilkan bekalan air dan membolehkan 93 hingga 95 peratus kawasan diusahakan.
  • Stesen pam Gong Tambak RM1.15 juta memperkukuh pengairan dua bendang, manfaat kepada 43 petani melibatkan 128 hektar.

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata sebahagian petani berjaya memperoleh hasil antara tujuh hingga 10 tan sehektar.

Pencapaian itu jelas beliau, didorong pengurusan air yang lebih cekap selepas Projek Sistem Pam Kemubu 4 mula beroperasi sepenuhnya pada Februari lepas.

“Hasil musim ini sangat memberangsangkan. Walaupun data yang kita sedang kumpul belum lengkap sepenuhnya. Namun, apa yang kita dapati secara umum jauh melebihi apa yang pernah dicapai pada musim-musim sebelum ini. Seperti musim lalu, sebanyak 4.1 tan sehektar hasil tuaian padi diperoleh,” katanya.

Menurutnya, projek bernilai hampir RM20 juta yang melibatkan lapan pam utama di Stesen Rumah Pam Kemubu serta pam sokongan di Lemal, Pasir Mas berjaya menstabilkan bekalan air ke kawasan penanaman padi.

“Projek ini menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu pengairan khususnya di kawasan Bachok dan sekitarnya. Hasilnya, kira-kira 93 hingga 95 peratus kawasan tanaman padi berjaya diusahakan tanpa gangguan besar walaupun berdepan cabaran cuaca,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Pam Pengairan Gong Tambak di sini hari ini.

Stesen pam Gong Tambak bernilai RM1.15 juta itu merupakan satu lagi projek yang dibangunkan KADA di Pasir Puteh bagi memperkukuh sistem pengairan dan saliran kawasan penanaman padi seliaannya di Kelantan.

Khalid berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menangani cabaran dalam sektor pertanian termasuk perubahan iklim, peningkatan suhu global, kenaikan kos input pertanian dan tekanan terhadap sumber air.

Ia membolehkan bekalan air ke kawasan sawah disalurkan dengan lebih stabil, sekali gus meningkatkan kecekapan sistem pengairan.

“Projek ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada dua kawasan bendang utama iaitu Bendang Gong Tambak dan Bendang Kubang Tok Yoh melibatkan 43 petani dengan keluasan kira-kira 128 hektar tanah sawah,” katanya.

Projek tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada peningkatan bekalan air pertanian, malah menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.