Tiada keperluan pinda perlembagaan kekalkan dasar berkecuali negara – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Kesemua perjanjian dan ketetapan terdahulu serta rangka perundangan sedia ada tidak memerlukan sebarang pindaan Perlembagaan, selagi dasar dan tindakan yang diambil tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta semangat perlembagaan itu sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada keperluan meminda Perlembagaan untuk mengekalkan dasar berkecuali negara.
  • Pejabat Peguam Negara mengesahkan perjanjian dan ketetapan sedia ada masih sah tanpa pindaan.
  • Malaysia terus amalkan dasar luar berkecuali, persahabatan serantau, keadilan dan kemanusiaan.
  • Penglibatan BRICS bertujuan mempelbagaikan hubungan tanpa menjejaskan hubungan dengan AS dan Eropah.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas merujuk pandangan Pejabat Peguam Negara berhubung keperluan pindaan undang-undang atau perlembagaan berkaitan dasar negara.

Beliau menjelaskan semua perjanjian dan ketetapan terdahulu, termasuk rangka penggubalan dasar negara, tidak memerlukan pindaan perlembagaan bagi mengekalkan pendirian Malaysia sebagai negara berkecuali.

Penjelasan itu dikemukakan ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, berhubung keperluan meminda undang-undang sedia ada dalam menghadapi perkembangan geopolitik semasa.

Malaysia, menurut beliau, akan terus berpegang kepada prinsip dasar luar yang berteraskan sikap berkecuali, persahabatan serantau serta komitmen terhadap keadilan dan kemanusiaan, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Dalam masa sama, Malaysia kekal menjalin hubungan baik dengan negara jiran termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina dan Vietnam, selaras dengan semangat kerjasama serantau ASEAN.

Selain itu, penyertaan Malaysia dalam rangka kerjasama BRICS mencerminkan usaha mempelbagaikan hubungan ekonomi dan diplomatik, tanpa menjejaskan hubungan sedia ada dengan Amerika Syarikat serta negara-negara Eropah.