
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Kerajaan tidak bercadang menghentikan sebarang penerbitan rancangan realiti televisyen berunsur keagamaan, meskipun terdapat kebimbangan penglibatan segelintir bekas pesertanya dalam aktiviti yang menjejaskan imej Islam.
- Kerajaan tidak bercadang menghentikan penerbitan rancangan realiti berunsur keagamaan.
- Perketat pematuhan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam dan mekanisme pemantauan kandungan.
- Program dianggap medium pendidikan tidak formal penting untuk belia, walaupun ada kebimbangan nilai versus populariti.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli memaklumkan, kerajaan pada masa sama akan memperketatkan pematuhan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua 2014) yang diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai rujukan utama industri penyiaran.
“Sebarang pelanggaran undang-undang adalah tanggungjawab peribadi dan tertakluk kepada proses perundangan sedia ada.
“Kerajaan akan memperketat pematuhan garis panduan, mengukuhkan mekanisme pemantauan kandungan, serta melibatkan panel syariah serta kerjasama dengan pihak penyiaran bagi memastikan pelaksanaan program lebih berdisiplin, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya menjawab pertanyaan Senator Dr Jufitri Joha di Dewan Negara hari ini.
Marhamah menegaskan, Perkara 10(1)(a) Garis Panduan berkenaan secara jelas menetapkan bahawa individu yang terlibat dalam program sedemikian hendaklah mengekalkan peribadi mulia walaupun berada di luar waktu persembahan.
Menyentuh mengenai kajian pakar Islam Asia Tenggara, Prof Ken Miichi yang menyifatkan program realiti agama sebagai sebahagian daripada “budaya pop Islam” yang mungkin tidak seimbang antara nilai dan populariti, beliau berkata, kerajaan melihat program tersebut sebagai medium pendidikan tidak formal yang penting bagi golongan belia.