Isu sensitiviti agama: Peguam cadang pelaku wajib dipenjara

Peguam, Mahmud Jumaat

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Hukuman lebih berat perlu diperuntukkan bagi menangani isu berkaitan sensitiviti agama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hukuman lebih berat diperlukan untuk kesalahan menghina sensitiviti agama.
  • Mahmud Jumaat mencadangkan peningkatan maksimum hukuman penjara hingga 20 tahun.
  • Hukuman di bawah Seksyen 233 wajar diubah supaya penjara wajib dikenakan.
  • Seksyen 233 kini memberi pilihan penjara atau denda, atau kedua-duanya, tertakluk kepada mahkamah.

Perbuatan menghina kepercayaan seseorang tidak boleh dilindungi atas alasan kebebasan bersuara, kata peguam bela Mahmud Jumaat.

Beliau berkata hukuman sedia ada termasuk di bawah Seksyen 233 wajar dipertingkatkan daripada maksimum dua tahun penjara kepada tempoh lebih berat sehingga 20 tahun memandangkan kesalahan itu bersifat serius.

“Bagi saya apabila menyentuh mengenai sensitiviti agama ini, saya percaya hukuman yang ada ini mungkin dari segi penjara perlu dipertingkatkan daripada dua tahun hingga mungkin 20 tahun sebab perkara ini sangat serius.

“Hukuman bawah Seksyen 233 mungkin daripada ‘atau’ ditukar kepada ‘dan’ yang mana hukuman penjara itu wajib dikenakan kepada si pelaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media hari ini.

Seksyen 233 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya sekali, tertakluk kepada keputusan mahkamah.