
PUTRAJAYA, 8 Jun – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Fahmi Fadzil memberi peringatan kepada pemimpin politik supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
- Fahmi mengulas kenyataan Onn Hafiz dengan kata ringkas: 'terlajak kata buruk padahnya'.
- Dzulkefly mengingatkan agar tidak terlalu tegar dalam kerjasama politik; jangan bakar jambatan.
- Onn Hafiz menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP dan sanggup lepaskan jawatan Menteri Besar.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung pendirian Barisan Nasional (BN) Johor yang enggan bekerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau secara ringkas berkata “terlajak kata buruk padahnya”.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi ditemui selepas Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri di sini, hari ini.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil pendirian terlalu tegar dalam soal kerjasama politik kerana keadaan boleh berubah pada masa hadapan.
“Do not burn bridges. Sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada. Kita tidak tahu apa takdir yang mendatang jadi jangan terlalu ekstrem dan ‘inflexible’, jangan terlalu jumud,” katanya.