Standard sektor penjagaan dijangka dilancar Oktober

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang memuktamadkan pembangunan standard sektor penjagaan sebagai langkah memperkukuh kualiti perkhidmatan serta profesionalisme dalam bidang berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran standard dijangka pada Oktober setelah peringkat akhir perbincangan selesai.
  • Perbincangan dengan pemain industri mendedahkan cabaran, langkah dan cadangan penambahbaikan yang bernilai.
  • KPWKM mengembang Program TVET Penjagaan dengan sasaran kira-kira 2,000 peserta tahun ini untuk melahirkan penjaga profesional.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata standard tersebut merangkumi piawaian dan jangkaan kualiti yang perlu dipenuhi oleh penyedia perkhidmatan penjagaan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan kini berada pada peringkat akhir perbincangan dan dijangka dilancarkan pada Oktober ini.

“Saya amat berpuas hati dengan perbincangan yang berlangsung hari ini kerana kami berpeluang mendengar pandangan secara langsung daripada pemain industri yang terlibat dalam sektor ini. Mereka berkongsi pelbagai cabaran yang dihadapi, langkah yang boleh diambil serta cadangan-cadangan penambahbaikan yang wajar dipertimbangkan,’ katanya.

“Selain itu, pandangan yang dikemukakan oleh moderator dan para panelis juga amat bernilai serta diperlukan dalam usaha memperkukuh sektor ini. Semua input yang diterima sangat penting kerana ia boleh dijadikan rujukan dalam proses menyediakan dan memuktamadkan standard yang sedang dibangunkan,” jelas beliau.

“Walaupun pembangunan standard ini telah melalui pelbagai siri perbincangan dan mesyuarat, kami sentiasa terbuka untuk menerima idea serta cadangan baharu. Ini kerana sektor penjagaan merupakan bidang yang sentiasa berkembang dan bersifat dinamik,” tambahnya.

Justeru, perbincangan seperti ini amat penting kerana ia membantu kita mengenal pasti ruang penambahbaikan serta memperkukuh perkara yang telah dirancang dan dilaksanakan. Usaha ini bagi memastikan standard yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan sektor dan pihak berkepentingan,” katanya kepada media selepas sesi Program Meja Bulat Ekonomi Penjagaan ABAC Malaysia 2026 di sini.

KPWKM turut memperluas Program TVET Penjagaan (MTVET) dengan sasaran kira-kira 2,000 peserta tahun ini bagi melahirkan lebih ramai penjaga profesional dan berkemahiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.