
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ekonomi penjagaan perlu diiktiraf sebagai agenda strategik negara bagi menyokong penyertaan tenaga kerja, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya tahan ekonomi dan sosial negara dalam jangka panjang.
- Perubahan demografi ke arah penuaan: 60 tahun ke atas dijangka capai 15.3 peratus menjelang 2050; kadar kesuburan turun kepada kira-kira 1.6.
- Tekanan meningkat terhadap sistem penjagaan kanak-kanak, warga emas, individu kurang upaya dan perkhidmatan penjagaan jangka panjang.
- Kerja penjagaan tidak dibayar masih majoriti dilakukan dalam keluarga, menjejaskan penyertaan tenaga kerja dan produktiviti negara.
- Nilai kerja penjagaan tanpa bayaran dianggarkan RM379 bilion setahun; peningkatan akses penjagaan mampan boleh sumbang kira-kira RM77 bilion.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata Malaysia berdepan perubahan demografi yang ketara apabila dijangka memasuki fasa Negara Menua menjelang 2050, dengan golongan berusia 60 tahun ke atas merangkumi 15.3 peratus daripada jumlah penduduk.
Menurut beliau, situasi itu berlaku seiring penurunan kadar kesuburan kepada kira-kira 1.6 kelahiran bagi setiap wanita, iaitu di bawah kadar penggantian penduduk sebanyak 2.1.
“Perubahan ini turut berlaku seiring perubahan sosioekonomi yang lebih luas, termasuk proses urbanisasi, saiz keluarga yang semakin kecil serta peningkatan bilangan isi rumah berpendapatan dua sumber.
Keadaan ini memberi tekanan yang semakin besar terhadap sistem penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas, sokongan kepada individu kurang upaya serta perkhidmatan penjagaan jangka panjang,” katanya.
Jelasnya, sebahagian besar tanggungjawab penjagaan masih dilaksanakan secara tidak formal dalam lingkungan isi rumah dan keluarga.
“Walaupun kerja penjagaan dan kerja domestik tanpa bayaran secara tradisinya kurang diberi pengiktirafan dalam ukuran ekonomi konvensional, kesannya terhadap penyertaan tenaga kerja, produktiviti dan daya tahan ekonomi kini semakin sukar untuk diketepikan,” ujarnya ketika berucap pada Program Meja Bulat Ekonomi Penjagaan ABAC Malaysia 2026 di ibu negara, hari ini.
Tambah Datuk Seri Nancy lagi, kajian Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menganggarkan nilai kerja penjagaan dan kerja domestik tanpa bayaran mencecah RM379 bilion setahun, hampir menyamai keseluruhan sektor pembuatan negara.
Selain itu, kira-kira 3.2 juta rakyat Malaysia, majoritinya wanita, berdepan kekangan untuk menyertai tenaga kerja sepenuhnya akibat tanggungjawab penjagaan keluarga.
Peningkatan akses kepada sistem penjagaan yang lebih mampan dan dipercayai berpotensi menyumbang kira-kira RM77 bilion setahun kepada ekonomi negara atau bersamaan lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).