fb fb fb fb fb

Taufan Trami: Terengganu salur RM4.2 juta baik pulih rumah rosak

Taufan Trami memusnahkan kediaman penduduk di Terengganu. / Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 3 November- Sebanyak RM4.2 juta telah disalurkan kerajaan Terengganu untuk membiayai kos baik pulih ratusan rumah yang rosak akibat taufan pada akhir bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerja-kerja baik pulih rumah penduduk kini sedang giat dijalankan dengan kemajuan sekitar 70 hingga 80 peratus.

"Kebanyakan kerosakan yang dilaporkan melibatkan bumbung dan atap rumah yang tercabut.

"Kerja-kerja baik pulih bumbung tidak mengambil masa yang lama kerana kerosakan hanya melibatkan struktur bangunan," katanya selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu Tahun 2024 di sini.

Beliau menambah bahawa kejadian ribut yang berlaku pada Rabu lalu melibatkan semua daerah, namun daerah Dungun dan Kuala Nerus menerima kesan kerosakan paling minimum.

Selain kediaman, beberapa sekolah turut mengalami kerosakan akibat ribut yang berpunca daripada tempias Taufan Trami, terutamanya di daerah Kemaman.

Antara sekolah yang terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Bukit Mentok, SMK Sultan Ismail, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, SK Bukit Mentok, Sekolah Menengah Agama Al-Falah, dan SK Seri Kemaman.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM