KUALA NERUS, 24 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perisytiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kuala Nerus.
Keberangkatan baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K.Saraswathy.
Turut berangkat, Yang di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail dan anakanda-anakanda baginda.
Sultan Mizan berkenan meraikan pengiktirafan Koleksi Surat Persendirian Baginda Omar sebagai dokumen warisan serantau oleh UNESCO bawah Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP).
Baginda Omar atau Sultan Omar merupakan Sultan Terengganu ke-9 yang memerintah dari tahun 1839 hingga 1876 dan Koleksi 56 naskhah surat persendirian itu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara pada 30 September 2010.
Arkib Negara Malaysia juga telah mengambil langkah proaktif dalam pemeliharaan, pemuliharaan dan pendigitalan koleksi ini, termasuk penyimpanan rapi dalam repositori khas di Arkib Negara Kuala Lumpur.
Majlis dua hari itu turut menganjurkan Seminar Warisan Asia Pasifik yang disertai 500 peserta dari kalangan pelajar, penyelidik dan sejarawan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami dalam ucapannya berkata seminar yang diadakan berupaya mengukuhkan jati diri nasional dan semangat cinta akan negara.
Jelasnya, kementeriannya komited tampil sebagai agen pemangkin dalam meningkatkan semangat perpaduan menerusi pemahaman dan penghargaan terhadap sejarah dan kebudayaan negara.
Beliau berharap agar seminar tersebut dapat menjadi pencetus kepada kajian yang lebih mendalam dan usaha pemeliharaan yang lebih giat terhadap warisan sejarah negara.