SPRM sita aset bernilai RM11.4 juta milik bekas PTD

SPRM mempamerkan sebahagian barangan sitaan termasuk jam tangan mewah dan wang tunai dalam siasatan kes rasuah melibatkan bekas PTD. Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Januari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas aset bernilai RM11.4 juta melibatkan wang tunai, mata wang asing, jam tangan mewah jenama Rolex, emas serta kenderaan mewah dalam siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa berprofil tinggi yang sedang dijalankan membabitkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM merampas aset bernilai RM11.4 juta termasuk wang tunai, mata wang asing, jam tangan mewah, emas dan kenderaan mewah.
  • Sitaan dilakukan di dua lokasi utama di Kuala Lumpur dan Besut berdasarkan maklumat risikan SPRM.
  • Siasatan masih berlangsung; aset akan digunakan sebagai bukti sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sitaan tersebut melibatkan wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah kenderaan jenis Range Rover bernilai kira-kira RM360,000 serta 26 unit jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.

“Dalam kes ini, kita telah membuat sitaan breakdown seperti berikut, wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta sebuah kereta jenis Range Rover SVR bernilai RM360,000.”

“Kami turut menyita 26 unit jam tangan bernilai RM2.3 juta kebanyakan iaitu jenama Rolex sahaja, 23 unit tidak silap saya yang ada di depan ini. Kita juga membuat pengenalpastian bahawa ini adalah jenama tulen Rolex.”

“Barang-barang kemas bernilai RM294,039 dua cincin berlian bernilai RM20,000, jongkong emas 3.7kg yang mengikut harga semasa sekarang tak silap saya lebih kurang bernilai RM2.5 juta.”

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Azam memaklumkan sitaan tersebut dibuat di dua lokasi utama, iaitu sebuah kediaman di Kuala Lumpur dan sebuah lagi rumah di Besut, Terengganu, hasil maklumat risikan yang diterima SPRM.

Beliau turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa mereka sebagai pemberi maklumat sehingga membawa kepada rampasan berkenaan.

Selain itu, beliau menegaskan siasatan masih diteruskan dan aset yang dirampas akan digunakan sebagai bahan bukti sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini seorang bekas PTD dilepaskan daripada reman SPRM pada Isnin lalu susulan penahanan bagi membantu siasatan kes tender perolehan ATM.

Proses mendapatkan keterangan pegawai tinggi berusia 58 tahun itu sudah dilengkapkan oleh pegawai penyiasat SPRM.

Pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama dua isterinya ditahan oleh SPRM berkait projek perolehan tender tentera darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari, manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.