
LENGGENG, 27 Jun – Kejayaan 12 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Klana Putra yang mengharumkan nama negara di pentas inovasi antarabangsa diraikan dalam satu majlis penghargaan di sekolah itu, hari ini.
- Pelajar meraih pingat emas pada Innovation World Cup 2026 dan Innovation Competition 2026.
- Kejayaan dipacu oleh kesungguhan, disiplin tinggi dan proses pembangunan inovasi selama kira-kira enam bulan.
- Projek seperti SmartServe dan SmartSenseWatch mesra alam, praktikal, serta membantu warga emas dan golongan OKU.
Majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan terhadap komitmen pelajar dan guru pembimbing selepas mereka meraih pingat emas pada Innovation World Cup 2026 dan Innovation Competition 2026.
Guru Pembimbing Projek Inovasi, Noor Shariffah Mohd Jaafar berkata, kejayaan itu didorong oleh kesungguhan serta disiplin tinggi yang ditunjukkan pelajar sepanjang menghasilkan produk inovasi.
“Faktor utama ialah kesungguhan murid-murid. Disiplin memainkan peranan yang sangat penting kerana proses menghasilkan sesuatu produk mengambil masa kira-kira enam bulan,” katanya.
Antara projek yang menerima pengiktirafan ialah SmartServe, peranti pintar yang membantu mengesan tahap kesegaran makanan, serta SmartSenseWatch, jam tangan pintar yang direka untuk membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Pelajar, Wan Nor Alyaa Qalesya Wan Mohamad berkata, pasukannya menghasilkan produk yang lebih mesra alam dan praktikal untuk kegunaan harian.
“Kami yakin inovasi kecil seperti ini mampu memberi impak yang lebih besar jika digunakan secara meluas,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Hariz Anas Nur Saifuddin berkata, pembangunan SmartSenseWatch berdepan cabaran dari segi kos bahan, namun tidak mematahkan semangat pasukannya untuk menyiapkan projek berkenaan.
Kejayaan itu membuktikan sekolah luar bandar juga mampu melahirkan bakat bertaraf antarabangsa menerusi gabungan semangat, disiplin dan bimbingan berterusan daripada guru.