
LANGKAWI, 4 Mac- Seramai 18 penerima terdiri daripada pesakit kronik dan asnaf disantuni menerusi program Skuad Ya Untukmu Ramadan anjuran LangkawiFM.
- Program dibahagikan dua bahagian: penyerahan bantuan rumah pagi dan jemputan ke MAHA Tower untuk ceramah santai serta berbuka.
- Konvoi lawatan mengunjungi lapan lokasi sekitar pulau bersama rakan strategik termasuk JPJ dan Lembaga Zakat.
- Inisiatif CSR LangkawiFM bertujuan meringankan beban golongan memerlukan sepanjang Ramadan.
Menurut penerbit program, Mohammad Hafiz Che Noh, program tahun ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu penyerahan bantuan kepada lapan keluarga asnaf di kediaman masing-masing pada sebelah pagi, manakala 10 keluarga lagi dibawa ke MAHA Tower di sini untuk mengikuti ceramah santai dan majlis berbuka puasa.
Beliau berkata program sebelah pagi dimulakan dengan konvoi dari Kompleks Penyiaran RTM Langkawi ke lapan lokasi sekitar pulau itu bersama rakan strategik LangkawiFM.
Konvoi berkenaan disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Langkawi, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Cawangan Langkawi dan rakan strategik lain.
Timbalan Pengarah Penyiaran Langkawi, Shamshina Mohamed Said hadir sama memeriahkan program tersebut.
Mohammad Hafiz berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) LangkawiFM kepada komuniti di pulau pelancongan berkenaan.
Tambah beliau, sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan stesen radio itu dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan sepanjang Ramadan.
Program diakhiri dengan ceramah santai oleh pendakwah bebas, Shamsul Debat dan majlis berbuka puasa.