
SANGLANG, 4 Mac – Semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa terus diperkasa menerusi pelaksanaan Program Qaseh Ramadan di Kampung Rama dan Permatang Keriang, di sini.
- Program Qaseh Ramadan memperkasakan semangat kesukarelawanan mahasiswa melalui kerjasama komuniti setempat.
- Lebih 300 pek bubur lambuk dan masakan daging disediakan dan diagihkan secara bergotong-royong.
- Inisiatif ini menyatukan komuniti dan mahasiswa serta meringankan beban keluarga kurang berkemampuan.
Program tahunan anjuran Angkatan Mahasiswa dan Mahasiswi Perlis Universiti Sains Malaysia (AMLIS USM) itu dilaksanakan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif Kampung Rama dan Permatang Keriang.
Pengarah program, Nuralia Safira Suhairi memaklumkan, inisiatif tanggungjawab sosial berkenaan melibatkan 60 peserta terdiri daripada mahasiswa anak Perlis dan penduduk setempat yang bersama-sama menyediakan juadah berbuka puasa.
Beliau berkata, program tersebut bukan sekadar aktiviti agihan makanan, malah menjadi platform menyatukan komuniti dan mahasiswa selain memperkukuh hubungan silaturahim.
“Inisiatif bersama komuniti ini juga dapat meringankan beban masyarakat khususnya keluarga kurang berkemampuan,” katanya.
Menerusi program itu, lebih 300 pek bubur lambuk dan masakan daging berjaya disediakan secara bergotong-royong sebelum diagihkan kepada penduduk setempat.
Turut terlibat, mahasiswa daripada pelbagai persatuan termasuk Majlis Mahasiswa Anak Perlis (MARLIS), Persatuan Mahasiswa Anak Perlis di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Kelab Patriot Chapter Perlis Universiti Utara Malaysia dan Komuniti Mahasiswa Perlis.
Pelaksanaan program seumpama itu membuktikan sinergi antara mahasiswa dan komuniti setempat mampu mewujudkan impak positif serta melahirkan generasi yang lebih peka terhadap tanggungjawab sosial.