Skim Simen RAHMAH diteruskan, manfaatkan pembinaan rumah mampu milik

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Mei – Inisiatif Skim Simen RAHMAH diteruskan tahun ini dengan 1.6 juta tan metrik simen diperuntuk bagi menyokong sasaran penyediaan 500,000 unit pembinaan rumah mampu milik (RMM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, skim berkenaan menawarkan simen pada harga lebih rendah berbanding harga di pasaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Simen RAHMAH ditawarkan pada harga subsidi: pukal RM290/ton dan kampit 50kg RM17.50, lebih rendah daripada harga pasaran.
  • Skim diperluas kepada projek perumahan mampu milik Persekutuan, negeri dan swasta untuk bantu golongan muda, mahasiswa dan pekerja memiliki rumah.
  • Tindakan tegas akan diambil terhadap penyalahgunaan subsidi, termasuk senarai hitam pemaju dan kontraktor jika terlibat.

Inisiatif berkenaan turut diperluas merangkumi projek perumahan mampu milik di bawah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta swasta.

“Fokus kita adalah untuk memastikan golongan muda, mahasiswa, graduan, pekerja gig dan lain-lain, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar, mempunyai akses kepada pembiayaan perumahan.

Kita juga mahu mereka berpeluang memiliki rumah pada harga berpatutan dan tidak melambung tinggi akibat kenaikan kos bahan mentah,” katanya dalam satu sidang media selepas pelancaran inisiatif Simen RAHMAH 2026 di sini.

Melalui langkah berkenaan juga, kos bahan binaan akan lebih terkawal dan kebajikan rakyat khususnya pembeli rumah pertama dapat diutamakan.

Menurutnya lagi, melalui skim ini, harga simen pukal akan ditawarkan pada harga RM290 per tan berbanding RM420 di pasaran.

Manakala simen kampit 50 kilogram pula ditetapkan pada harga RM17.50 berbanding pasaran RM24.90.

Nga turut menekankan, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada pihak yang menyalahgunakan subsidi berkenaan.

“Kami tidak mahu berlaku penyelewengan seperti menjual semula simen subsidi ini kepada pihak ketiga.

Jika didapati ada pemaju melakukan hal sedemikian, saya akan menggunakan kuasa saya untuk menyenarai hitamkan pemaju dan kontraktor tersebut seumur hidup,” tegasnya.

Tambahnya lagi, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memberikan subsidi simen seperti ini.

Simen RAHMAH mula diperkenalkan pada tahun 2023 telah berjaya dimanfaatkan oleh 11,999 unit RMM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.