
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Langkah penyelarasan semula keutamaan perbelanjaan mengurus melibatkan kementerian dan agensi kerajaan berjaya mencapai kira-kira 50 peratus daripada sasaran penjimatan setakat ini.
- Penyelarasan keutamaan perbelanjaan mengurus bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara menghadapi cabaran krisis bekalan global.
- Pendekatan perbelanjaan lebih berhemah tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan atau pelaksanaan program kementerian.
- Keutamaan terus diberikan kepada pengukuhan barisan hadapan khususnya kesihatan, keselamatan dan pendidikan.
Perkara itu sebagai usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara dalam mendepani cabaran krisis bekalan global yang terus memberi impak kepada ekonomi dan rantaian bekalan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Pendekatan perbelanjaan secara lebih berhemah itu juga tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan program kementerian.
“Daripada anggaran yang ditetapkan, jumlah penjimatan atau penyelarasan keutamaan yang berjaya dicapai setakat ini sudah mencecah kira-kira 50 peratus daripada sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI turut mengucapkan penghargaan terhadap penganjuran sambutan Hari Belia dan Hari Guru serta pelbagai acara rasmi kerajaan yang dilaksanakan secara lebih sederhana, tanpa menjejaskan objektif dan pengisian program.
Menurut Datuk Fahmi keutamaan terus diberikan kepada pengukuhan perkhidmatan barisan hadapan khususnya sektor kesihatan, keselamatan dan pendidikan.