TOKYO, 15 Disember - Tokyo menjadi tuan rumah sidang pemimpin ASEAN sempena ulang tahun persahabatan ASEAN-Jepun ke-50, yang berlangsung esok hingga 18 Disember.
Delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual tiba di Lapangan Terbang Narita, sekitar pukul 11 malam Jumaat, waktu tempatan.
Selain Datuk Seri Anwar, kesemua pemimpin utama negara anggota ASEAN juga telah menyatakan persetujuan hadir ke sambutan berkenaan kecuali pemimpin Myanmar.
Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun bakal dipengerusikan bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.
Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata ia juga merupakan kunjungan sulung Anwar sebagai Perdana Menteri ke negara Matahari terbit itu selain secara tidak langsung membalas kunjungan Kishida ke Malaysia November lalu.
"Kami amat mengalu-alukan ketibaaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Datuk Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Luar yang baru ke Jepun.
"Ini akan menjadi satu peluang untuk Malaysia melakar sejarah lembaran baru persahabatan bukan saja Malaysia-Jepun, tetapi juga ASEAN-Jepun," katanya.
Sementara itu, sidang kemuncak peringatan ASEAN-Jepun turut diikuti rapat pemerhati geopolitik.
Geostrategis dan juga Pensyarah Kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr. Azmi Hassan berkata sidang kemuncak yang di dihadiri Anwar itu menjadi medan mengukuhkan lagi perkongsian strategik komprehensif berdasarkan hubungan erat terjalin selama 50 tahun.
"Dari segi Geopolitik, memainkan peranan penting. Contohnya dalam hal Laut China Selatan, isu serantau di perairan tersebut di mana petembungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, itu dikatakan hubungan ASEAN dan Jepun itu unik, menjadi penanda aras bagaimana hubungan sesebuah organisasi itu dilakukan bila kedua pihak saling percaya mempercayai antara satu sama lain," katanya.
Datuk Seri Anwar juga dijadual menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan, selain majlis makan malam gala, ditemani isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Laporan disediakan Wartawan, Jelberter Robert.