fb fb fb fb fb

Semakan keputusan SPM 2021 bermula 16 Jun ini

(Syot layar mesej video Datuk Dr. Radzi Jidin di FB) 

KUALA LUMPUR, 7 Jun– Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 boleh mendapatkan keputusan masing-masing bermula 10.00 pagi pada 16 Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin yang mengumumkan perkara itu menerusi Faceboknya berkata, calon boleh mendapatkan keputusan melalui tiga kaedah termasuk secara dalam talian.

“Untuk calon-calon sekolah, mereka boleh mendapatkan keputusan bermula pukul 10.00 pagi, yang kedua melalui dalam talian menerusi pautan yang akan diberikan, juga bermula pukul 10.00 pagi dan yang ketiga melalui SMS pada hari tersebut, juga bermula 10.00 pagi,”kata Dr. Radzi melalui mesej video berdurasi 1.02 minit yang dimuat naik di facebooknya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Kementerian Pendidikan memaklumkan calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my mulai pukul 10.00 pagi pada 16 Jun 2022 sehingga pukul 6.00 petang pada 24 Jun 2022.

Calon juga boleh mendapatkan rumusan keputusan peperiksaan SPM 2021 menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Sistem itu akan diaktifkan bermula pukul 10.00 pagi pada 16 Jun 2022 sehingga pukul 6.00 petang pada 22 Jun 2022 

Bagi calon persendirian, slip keputusan peperiksaan SPM akan dihantar melalui pos pada 16 Jun 2022.

Dalam mesej video itu, Dr. Radzi turut mengingatkan bahawa perjalanan (calon-calon SPM) masih jauh dan banyak ruang serta peluang menanti. Justeru sebarang keputusan SPM, perlu diterima dengan hati terbuka dan terus bergerak kehadapan dan melakukan yang terbaik.

(Foto Fail RTM)

Media Baharu