
SHAH ALAM, 19 Mei – Peningkatan kes vandalisme dan kecurian kabel telekomunikasi di Selangor kini menjejaskan capaian internet, komunikasi harian, operasi perniagaan, pembelajaran digital serta perkhidmatan kecemasan.
- Selangor rekod kes vandalisme infrastruktur telekomunikasi tertinggi: 1,836 kes (2024) dan 1,273 kes (2025), serta turut catat jumlah tertinggi bersama KL 2025.
- Kerajaan negeri bersama MCMC lancar kempen pencegahan; tubuhkan Jawatankuasa Khas dengan PDRM, pihak berkuasa tempatan dan TNB untuk perlindungan bersepadu.
- Pelaksanaan sesi literasi, program kesedaran bersasar dan penglibatan komuniti dititikberatkan; orang awam digalakkan melaporkan aktiviti mencurigakan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, situasi itu turut menyebabkan kerugian besar kepada industri selain memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi vandalisme infrastruktur telekomunikasi dengan 1,836 kes pada 2024, diikuti 1,273 kes pada 2025.
“Selain itu, Selangor bersama Kuala Lumpur turut mencatat jumlah kes tertinggi di peringkat nasional bagi tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor bagi memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur komunikasi.
Antara langkah diperkenalkan ialah penubuhan Jawatankuasa Khas Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi yang melibatkan MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selain itu, pelaksanaan sesi literasi dan kesedaran awam bersama agensi penguat kuasa dan pemain industri turut dijalankan, termasuk program kesedaran bersasar di kawasan berisiko tinggi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Amirudin menegaskan usaha melindungi infrastruktur telekomunikasi bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak industri semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat.
“Peranan penduduk setempat, guru, ibu bapa, golongan belia, ketua kampung serta pemimpin komuniti amat penting dalam meningkatkan kesedaran.
“Masyarakat juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi,” katanya.
Beliau menambah, keselamatan infrastruktur telekomunikasi merupakan elemen penting dalam memastikan pembangunan digital Selangor terus berkembang secara stabil, selamat dan mampan.