
KEMAMAN, 19 Mei – Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat kebocoran paip yang menyalurkan bekalan air bersih ke rumah-rumah pengguna di seluruh negeri itu.
- Kebocoran paip lama merupakan punca utama kehilangan air, dianggarkan 70 peratus daripada jumlah kehilangan.
- SATU menanggung perbelanjaan besar setiap tahun untuk penyelenggaraan dan penggantian paip lama.
- Kadar NRW meningkat sedikit kepada 42 peratus berbanding kira-kira 41 peratus tahun lalu.
- Tindakan segera termasuk kerjasama dengan JBA, LAUT, bantuan TNB melepaskan air Tasik Kenyir, dan pembelian air swasta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, kerugian ekoran kehilangan air terawat tidak terhasil (NRW) itu tidak dapat dielak kerana ianya berpunca daripada masalah paip lama yang bocor.
Jelas beliau, pihaknya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar setiap tahun bagi melakukan penyelenggaraan dan penggantian paip-paip lama berkenaan.
“Kerana lebih banyak air kita salurkan dalam rangkaian sistem kita, nak pastikan pengguna dapat air lebih, dapat air yang mencukupi pada tekanan yang betul tu, lebih banyaklah kebarangkalian berlaku kebocoran paip.
Itulah yang berlakulah. 70 peratus daripada kehilangan air kita kerana kebocoran paip,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Sah, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, kadar NRW tahun ini telah meningkat sedikit kepada 42 peratus berbanding kira-kira 41 peratus tahun lalu dan pihak SATU sedang berusaha untuk mengurangkan kadar itu.
Mengenai masalah bekalan air payau yang berlaku di daerah Dungun dan Kuala Terengganu pula, Abdul Karim berkata, perkara disebabkan fenomena air laut pasang besar yang berlaku.
Pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Lembaga Urus Air Terengganu (LAUT) untuk mengatasinya.
Jelasnya, tindakan segera yang telah dilakukan dengan memohon bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melepaskan air dari Tasik Kenyir bagi meneutralkan air masin yang masuk ke sungai di daerah Kuala Terengganu.
Selain itu, pihak SATU turut membeli air daripada LRA syarikat swasta bagi kegunaan domestik di daerah Dungun untuk menampung bekalan pengguna.