fb fb fb fb fb

RUU Pekerja Gig 2025 fokus empat komponen utama

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dijadual dibentangkan pada sidang kali ini, menekankan empat komponen utama iaitu definisi pekerja gig, pendapatan, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, RUU tersebut memperkenalkan mekanisme penyelesaian pertikaian tersusun sebagai saluran rasmi pekerja gig mengemukakan sebarang isu atau ketidakadilan perkhidmatan mereka, sekali gus membolehkan aduan ditangani dengan sistematik dan berkesan.

“Proses penyelesaian pertikaian boleh dibuat melalui beberapa peringkat iaitu melalui mekanisme dalaman, prosiding pendamaian dan jika tidak boleh diselesaikan, pertikaian akan dibawa ke tribunal pekerja gig," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan laporan berkenaan bagi kementerian itu.

Ketika ini KESUMA menyediakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 kepada individu bekerja sendiri termasuk pekerja gig.

Kongsinya, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 11 Julai tahun ini, bilangan pencarum di bawah SKSPS adalah seramai 804,993.

Daripada jumlah itu, seramai 307,279 pencarum terlibat dalam ekonomi gig.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN