fb fb fb fb fb

Runtuhan dinding bukit, Gua Kelam 1 ditutup

Aktiviti rekreasi air, Gua Kelam 2, Galeri Gua Kelam dan Rumah Cermin dibuka seperti biasa.

KAKI BUKIT, 1 Mei- Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menutup serta merta Gua Kelam 1, Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak disebabkan berlaku kejadian runtuhan dinding bukit. 

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni, runtuhan berkenaan berlaku sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi iaitu 30 meter di sebelah kanan pintu masuk Gua Kelam 1 yang juga merupakan tapak parkir motosikal orang awam.

"Sehingga pukul 7.00 malam tadi, sebanyak lapan motosikal pengunjung disahkan telah dihempap batu tersebut, namun tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Tindakan awal yang telah diambil termasuklah memasang 'caution tape' di lokasi kejadian untuk mengelakkan orang awam mendekati lokasi kejadian dan menutup serta merta sementara aktiviti memasuki Gua Kelam 1 sehingga diberitahu kelak.

"Satu kajian lanjut akan diselaraskan bersama pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk menilai kawasan tebing bukit sekitar kawasan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam.

"Namun aktiviti rekreasi air, Gua Kelam 2, Galeri Gua Kelam dan Rumah Cermin dibuka seperti biasa," katanya menerusi kenyataan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM