Rasuah RM3 juta: Isa Samad diperintah penjara enam tahun, denda RM15.45 juta

Rasuah RM3 juta: Isa Samad diperintah penjara enam tahun, denda RM15.45 juta.

PUTRAJAYA, 10 Februari – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kekal dipenjara selama enam tahun dan denda RM15.45 juta atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hot Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak 12 tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah berkaitan pembelian MPHS.
  • Hukuman dipastikan: penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
  • Suapan RM3.09 juta didakwa diterima melalui orang tengah sebagai balasan membantu kelulusan pembelian oleh FICSB.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Datuk Nordin Hassan bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan muktamad secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir pendakwaan sekali gus membatalkan pembebasan Mohd Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah.

Nordin berkata bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah wajar dan selaras dengan undang-undang.

Pihak pendakwaan selaku perayu diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala responden diwakili oleh peguam bela, M Athimulan.

Lima tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh penjara berkuat kuasa selama enam tahun.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa pada tahun 2018 dengan sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000.

Suapan itu diterima daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda penghargaan kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Mohd Isa, 77, didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Pertuduhan berkenaan dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.