fb fb fb fb fb

PUJI, bantu basmi miskin tegar

Dr Zaliha Mustafa ditemui media selepas Majlis Perasmian Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2024 di Putrajaya

PUTRAJAYA, 1 Februari- Usaha memperkasa pembangunan pesat di Wilayah Persekutuan perlu seiring dengan pembangunan sosial dan ekonomi penduduk.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, elemen-elemen penting yang diambil kira dalam setiap aspek pembangunan Wilayah Persekutuan merangkumi komuniti yang inklusif, perancangan dan pengurusan tanah yang mampan serta pengukuhan tadbir urus bandar.

Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) komited dalam membasmi kemiskinan tegar dan memperkasakan warganya melalui program-program penjanaan pendapatan, pembangunan usahawan, perlindungan sosial, pendidikan dan sebagainya.

"Memang banyak program yang kita buat tetapi pertama, kita mahu memastikan rakyat dalam kategori miskin tegar dan miskin bandar ditangani.

"Antara program yang kita laksana hari ini, adalah PUJI. Ini adalah sebenarnya untuk mambantu rakyat berpendapatan rendah untuk memastikan kelestarian ekonomi mereka,"katanya.

Zaliha berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2024 di Putrajaya.

Dengan tema 'Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni', kerajaan menjadikan pencapaian dan kemajuan pesat di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya selama tempoh lima dekad sebagai insipirasi untuk terus meningkatkan lagi pembangunan mampan di Wilayah Persekutuan.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE