fb fb fb fb fb

PROKIT bantu ibu tunggal tangani isu kewangan, keganasan rumah tangga

Menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri meraikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 di Sabah hari ini/Foto Facebook KPWKM

KOTA KINABALU, 11 Mei – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited membantu golongan ibu tunggal mengatasi cabaran isu perundangan dan kewangan melalui Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada bimbingan dalam isu keganasan rumah tangga dan perceraian yang menjadi antara cabaran utama golongan ibu tunggal.

Katanya, pengurusan kewangan keluarga juga sering membelenggu ibu tunggal, termasuk mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.

“Oleh itu memerlukan pihak-pihak yang mempunyai ilmu, pakar dalam bidang ini untuk membantu. Maka kita memang mengadakan program ini dari semasa ke semasa dan akan diteruskan lagi.

“Seperti yang saya nyatakan, kita perlu meningkatkan ilmu ini kerana dengan adanya ilmu, persepsi kita berbeza. Sekarang ini ramai penipu atau ‘scammer’ dengan pelbagai cara, dan kita mudah terpengaruh dalam hal ini.

"Ramai yang telah menjadi mangsa, jadi sebab itu perkara ini juga perlu dikongsikan dan dididik dalam kalangan masyarakat, terutamanya sekali ibu tunggal,” katanya pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan “Sentuhan Kasih Ibu” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy turut menekankan kepentingan pendidikan digital dalam kalangan ibu bapa, khususnya bagi membendung penyalahgunaan teknologi.

Katanya, antara kebimbangan utama ketika ini ialah penipuan dalam talian serta penyebaran imej yang disunting hingga boleh mencetuskan fitnah dan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

 

Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah serta Kasmirah Jaafar, masing-masing menerima Anugerah Ikon Ibu Muda dan Anugerah Ibu Inspirasi sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN