KUALA LANGAT, 29 Jun – Program Anjung Sinar anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) terus menunjukkan keberkesanannya apabila berjaya melahirkan lima ikon tahun ini, masing-masing mewakili kategori Pendidikan, Kepimpinan, Komuniti, Kerjaya dan Sukarelawan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan Anjung Sinar bukan sekadar inisiatif jangka pendek tetapi merupakan ekosistem sokongan jangka panjang bagi anak-anak lepasan institusi di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Program ini diwujudkan kerana apabila mereka mencecah usia 18 tahun, secara undang-undang kita tidak lagi boleh melindungi mereka. Namun begitu, kami tetap memastikan perlindungan berterusan melalui Anjung Sinar, tempat selamat untuk mereka membina masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Penghargaan Rakan Strategik Program Anjung Sinar 2025, di sini hari ini.
Sejak mula dilaksanakan pada 2023, seramai 615 peserta telah menerima manfaat daripada program tersebut.
Sebahagian daripada mereka yang kini berusia antara 20 hingga 21 tahun turut kembali untuk membantu peserta baharu.
“Ada antara mereka yang tidak dapat hadir kerana sedang bekerja, termasuk yang berada di Sarawak. Tetapi hubungan dengan mereka tidak pernah terputus – kami pastikan mereka terus dalam keadaan terpelihara,” ujarnya.
Program tersebut dijalankan melalui tiga fasa iaitu Transisi, Transformasi dan Integrasi.
Bagi tahun ini, seramai 128 peserta dari 24 institusi JKM menyertai Boot Camp Transisi Dinamik selama empat hari di Pulau Carey.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi strategik seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas sokongan dalam bentuk latihan, pendidikan serta bimbingan kerjaya.
“Ada peserta yang pada awalnya tidak tahu mahu ke mana. Tetapi melalui program ini, mereka didedahkan kepada pelbagai peluang termasuk minat menjadi pegawai tadbir diplomatik (PTD), melanjutkan pengajian dalam jurusan sains sosial dan banyak lagi. Program ini membuka minda mereka,” tambahnya.
Datuk Seri Nancy turut menyeru lebih banyak penyertaan daripada sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama memperkasa golongan belia lepasan institusi kebajikan.