
SEREMBAN, 12 Jun – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyifatkan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri sebagai medan penting untuk mendapatkan semula mandat rakyat bagi meneruskan agenda pembangunan serta mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri.
- Kerajaan negeri terbukti mentadbir baik hasil perpaduan pemimpin dan keyakinan rakyat sepanjang lapan tahun.
- Pembubaran Dewan Negeri dan pilihan raya peluang kepada rakyat tentukan hala tuju negeri untuk lima tahun akan datang.
- Seruan agar jentera mengutamakan perpaduan, sokong calon pilihan kepimpinan, dan rakyat tunaikan tanggungjawab mengundi.
Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri yang diterajui gabungan itu sejak lapan tahun lalu telah membuktikan keupayaannya mentadbir dengan baik hasil perpaduan dalam kalangan pemimpin serta keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
Menurut Datuk Seri Aminuddin, pembubaran Dewan Negeri dan pelaksanaan pilihan raya perlu dilihat sebagai peluang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Kerana perpaduan, kesungguhan dan keyakinan inilah kita dapat melihat pencapaian yang diraih sepanjang lapan tahun lalu. Apa juga cabaran yang dihadapi hari ini perlu diterima sebagai ujian untuk menjadikan kita lebih kuat, lebih bersatu dan lebih yakin dalam membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Arena Karisma, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti supaya terus memperkukuhkan perpaduan, mengetepikan kepentingan peribadi serta memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih oleh kepimpinan parti.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa rakyat Negeri Sembilan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
Beliau yakin rakyat akan membuat pilihan terbaik demi memastikan kesinambungan pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan Negeri Sembilan terus terpelihara.